SHAH ALAM: "Saya dan kawan-kawan tidak akan tubuhkan Amanah kalau mahu melutut pada PAS," itu reaksi Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub selepas diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Semalam, Hadi berkata Amanah akan melutut kepada PAS dan mengiktiraf kekuatan parti itu suatu hari nanti.
Ketika itu juga parti-parti yang menjadi sekutu Amanah terpaksa bergantung pada PAS untuk meraih sokongan rakyat, dakwa Hadi lagi.
"Kalau isu melutut saya dan kawan-kawan tak akan tubuhkan Amanah. Kalau nak melutut duduk dalam PAS sajalah. Jangan cakap apa-apa. Jangan buat apa-apa. Duduk diam sahaja.
"Bagi saya ucapan itu lahir daripada ucapan cemburu melihat kejayaan Amanah dalam tempoh yang singkat telah berjaya membuktikan bahawa dia bukan parti seperti Hamim dan Berjasa. Jadi harapan untuk lihat Amanah ini perti kecil yang umurnya tak panjang dan akan mati macam (parti) HAMIM dan BERJASA itu tidak kesampaian.
"Sebaliknya Amanah hari ini dapat sambutan yang baik daripada masyarakat," kata Salahuddin ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
HAMIM adalah Parti Hizbul Muslimin Malaysia sementara BERJASA pula adalah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia yang diwujudkan pada tahun 70-an dan 80-an.
HAMIM dan BERJASA merupakan parti yang ditubuhkan oleh dua orang bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Tan Sri Asri Muda dan Datuk Muhamed Nasir yang berpusat di Pantai Timur Malaysia.
Tambah Salahuddin yang juga bekas naib presiden PAS, parti itu kini tidak senang duduk berikutan sambutan di kalangan penyokong yang diterima Amanah amat memberangsangkan.
"Setakat ini kita telah berjaya dapatkan ahli hampir 80 ribu orang dalam tempoh setahun. Kita telah tubuhkan 156 kawasan Parlimen. Hari ini juga kita dapatkan 300 cawangan-cawangan baru di seluruh negara.
"Kita sasar dalam tempoh pertengahan tahun hadapan kita akan capai target kita lebih kurang 1000 cawangan. Jadi ini sebenarnya yang merisaukan Haji Hadi terutama pergolakan mutakhir PAS Kelantan dan juga sambutan luar biasa terhadap porgram Datuk Husam Musa (bekas pemimpin PAS) di Kelantan," ujarnya lagi.
Pemimpin PAS sebelum ini menolak laporan Amanah diterima baik di Kelantan. Malah Hadi sendiri mendakwa pengumuman Amanah bahawa parti itu menerima 1500 borang keahlian daripada ahli PAS dalam Majlis Perisytiharan Keluar PAS dan Masuk Amanah di Salor, Kelantan, sebagai 'cakap kosong'.
Kenyataan Hadi itu turut diulas Salahuddin. Ujarnya Amanah tidak akan mereka cipta cerita sebegitu dan amat menjaga integriti parti itu.
"Yang hadir dalam program itu adalah Setiausaha Agung Amanah sendiri, Tuan Haji Anuar Tahir yang saksikan borang itu diisi dan diserahkan kepada beliau. Sekarang (borang itu) sedang diproses oleh ibu pejabat. Saya rasa jumlah itu adalah jumlah yang betul yang bukan rekaan.
"Saya sendiri amat menjaga tentang integriti parti Amanah ini. Mana boleh kita cakap saja seribu lebih atau kita boleh buat borang palsu dan seumpamanya.
"1500 itu benar-benar wujud. Malam itu beberapa profesor terkemuka di Kelantan dan golongan cendekiawan yang lain, bekas pegawai tinggi kerajaan, bekas ADUN, bekas wakil rakyat antara 1500 yang sertai Amanah. Jadi itu bukan cakap kosong," tegas Salahuddin.
No comments:
Post a Comment