Ramai pemimpin dan ahli UMNO cuba mempersenda dan memperlekeh hasrat Tun Mahathir Mohamad yang bakal menubuhkan sebuah parti politik baru dan kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan dengan matlamat menumbangkan BN dalam PRU 14 akan datang.
Mereka mengandaikan parti baru itu bakal menerima nasib seperti Semangat 46 yang pernah ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi berkubur akhirnya.
Turut menjadi perlekehan mereka ialah Tun Mahathir sudah berusia lebih 91 tahun sekarang ini dan diandaikan terlalu tua untuk menerajui sebuah parti baru yang berjuang untuk menumbangkan BN serta menjatuhkan Perdana Menteri yang lebih muda daripadanya.
Kata mereka lagi, Tengku Razaleigh dan dan Anwar Ibrahim yang masing-masing berusia awal 50an ketika menubuhkan Semangat 46 dan PKR pun gagal menumbangkan UMNO dan BN, tentunya lebih mustahil Tun Mahathir yang berusia 91 tahun mampu melakukannya.
Jika diteliti dengan mendalam, hujah-hujah mempersenda dan memperlekeh Tun Mahathir itu lebih berkecenderungan semata-mata untuk menutup rasa bimbang yang mula bercambah berkaitan wujudnya parti baru itu.
Semangat 46 memang pernah gagal dan akhirnya dibubarkan serta semua ahlinya kembali menyertai UMNO pada 1996, dua tahun sebelum berlakunya insiden 2 September 1998 di mana Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan.
Parti itu gagal kerana ketika itu tidak ada kemudahan internet dan semua maklumat bergantung sepenuhnya kepada Utusan, Berita Harian, RTM dan TV3 sahaja. Sebab itu, apabila isu tengkolok salib yang dipakai oleh Tengku Razaleigh pada pilihanraya 1990 dimainkan secara meluas dan diulang-ulang pagi petang siang malam oleh media-media pro UMNO dan BN itu, gabungan pembangkang terus layu kerana tidak berdaya menangkis mainan media yang datang bertubi-tubi.
Pihak pembangkang langsung tidak ada saluran komunikasi yang berkesan untuk memberi penjelasan sesuatu isu kepada rakyat. Yang ada hanya saluran ceramah dan bahan-bahan bercetak sahaja.
Pada pilihanraya 1990 itu, kalau pun pembangkang tidak menang, mereka hampir pasti mampu mencapai keputusan yang lebih baik daripada yang sepatutnya. Dengan PBS keluar BN dan memilih untuk bersama Tengku Razaleigh pada detik-detik akhir sebelum hari pengundian, sukar dijangkakan BN mampu menang dua pertiga pada pilihanraya tersebut.
Namun isu tengkolok salib yang dimainkan secara meluas itu membunuh sama sekali harapan Tengku Razaleigh menjadi Perdana Menteri.
Hakikatnya, Tun Mahathir ketika itu bijak mengambil kesempatan untuk "membunuh" lawannya dan menggunakan segala kesempatan yang ada. Tetapi, suasananya sudah berbeza sekarang. Bukan saja pemain internet lebih ramai yang memihak kepada blok pembangkang, mereka yang membaca Utusan dan Berita Harian atau menonton RTM dan TV3 pun hanya boleh dibilang dengan jari tinggalnya lagi. Saluran utama maklumat rakyat kini ada dalam genggaman tangan masing-masing.
Pembangkang juga ketika itu menentang Tun Mahathir hanya berkaitan isu-isu kepimpinan yang ditambah dengan kerugian dalam syarikat-syarikat kerajaan yang diperbesarkan serta dikaitkan dengan amalan kronisme dan nepotisme.
Sekarang isunya jauh lebih serius. Selain kepimpinan, kerugian, nepotisme dan kronisme terus berlaku, ia juga turut disertai dengan isu pembaziran, suka bermewah, gila naik jet dan kecurian wang negara yang jelas dan nyata di depan mata.
Tun Mahathir tidak pernah dikaitkan dengan kecurian wang negara dan sampai sekarang tidak pernah terbukti ada wang beribu-ribu juta dalam akaun bank peribadinya. Dalam akaun bank Tun Siti Hasmah juga tidak kedengaran ada puluh-puluh juta ringgit jumlahnya.
Tun Mahathir turut membina negara dengan pembangunan yang tak terkira serta menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Syarikat Malaysia gigih melabur di banyak negara dan ke mana-mana negara luar yang kita pergi, sanjungan jarang terlepas daripada menerobos ke lubang telinga. Sebab itu, di sebalik beliau ditentang dalam UMNO, rakyat secara umumnya menghargai banyak sumbangannya.
Di era Najib ini, apa pembangunan yang ada untuk negara dan apa pula harumnya nama Malaysia di mata dunia?
Berkaitan PKR, parti itu belum boleh dianggap gagal sepenuhnya. PKR belum berkubur seperti Semangat 46. Ia masih berjuang untuk menawan Putrajaya dengan bekalan paling ampuh dimilikinya sekarang iaitu Selangor masih dalam genggamannya.
Meskipun sehingga kini Anwar gagal menumbangkan UMNO dan BN melalui parti yang ditubuhkannya, PKR masih terus berjuang ke arah itu. Jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri juga belum lagi tertutup sepenuhnya.
Bahkan, dengan Tun Mahathir akan menubuhkan parti baru dan bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dua musuh itu sedang meniti jalan-jalan perdamaian untuk sama-sama menumbangkan Najib.
Apakah Najib cukup kuat untuk berlawan dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar sedangkan dalam proses mendaki laluan politiknya selama ini, beliau lebih banyak menang percuma daripada memperolehi kedudukan melalui perlawanan?
Harus diakui, gagalnya pembangkang di era Tun Mahathir lebih banyak disebabkan kepintaran serta kelicikan bekas Perdana Menteri itu bermain politik. Sejarah panjang Tun Mahathir bukan saja ketika menjadi Perdana Menteri, bahkan terserlah sebelum itu lagi iaitu ketika era Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri.
Tetapi hari ini, Tun Mahathir yang penuh kepintaran, kelicikan dan selalu menang itulah yang sedang cuba berjuang sekali lagi, kali ini bukan lagi untuk kepentingan peribadi atau jawatan, malah sepenuhnya untuk menyelamatkan negara kita ini.
Apakah Najib perlu diberi lanjutan menggenggam kuasa lagi? (SH 15/07/2016).
No comments:
Post a Comment