KedahLanie.info Posted: 14 May 2016 09:21 AM PDT Isu Husam kukuhkan ikatan ahli Pas Posted: 14 May 2016 08:04 AM PDT KOTA BHARU - Biarpun dibayangkan agak terkesan dengan dakwaan 10 wakil rakyatnya akan meninggalkan Pas sebaik Adun Salor, Datuk Husam Musa dilucutkan keahlian, namun sebaliknya yang berlaku apabila ikatan antara ahli parti itu dilihat lebih utuh. Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pelbagai dakwaan dan kenyataan dikeluarkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini seolah-olah menggambarkan Pas akan kehilangan wakil rakyatnya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. “Setakat ini, perkembangannya terlalu positif, walaupun sebelum ini ada dakwaan mengatakan sehari selepas Datuk Husam dipecat, 10 wakil rakyat akan sertai mereka (Amanah). Tapi hingga hari ini, belum ada apa-apa tanda,” katanya kepada media di sini, semalam. Che Abdullah ditemui media ketika menghadiri Karnival Antarabangsa Bio Kelantan 2016 di sini, semalam. Menurutnya, dari segi situasi dan perkembangan semasa, ia menggambarkan terhadap usaha-usaha ke arah memperkukuhkan jemaah dan memantapkan lagi perjuangan di semua peringkat. Sementara itu, mengulas mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Che Abdullah berkata, Pas Kelantan akan menghantar jentera untuk membantu calon di kedua-dua parlimen berkenaan. “Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu, tetapi jentera akan kita hantar mengikut keperluan di setiap kawasan,” katanya. | Depa dok kata Najib akan rombak kabinet tak lama lagi Posted: 14 May 2016 07:49 AM PDT Najib rombak kabinet tak lama lagi Datuk Seri Najib Razak sudah bersedia melakukan rombakan kabinet dalam masa terdekat ekoran peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Kata perdana menteri, Douglas kini dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak bersama dua lagi tokoh negeri itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. "Sehubungan dengan itu juga, saya menerima peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) sebagai Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi. "Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dan banyak menyumbang kepada sektor komoditi dalam jawatan sebelum ini. "Antaranya penubuhan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit yang telah membantu dalam memastikan kestabilan harga sawit dan membangunkan industri hiliran," kata Najib di blog beliau sebentar tadi. Masih bersedih Ekoran peletakan jawatan itu juga, perdana menteri berkata, penstrukturan semula kabinet dan pelantikan baru akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Katanya, pelantikan baru itu juga dibuat ekoran kemalangan maut membabitkan Datuk Noriah Kasnon di Sarawak pada 5 Mei lalu. Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei dan BN kini memerintah negeri itu di bawah Tan Sri Adenan Satem. Adenan semalam mengumumkan barisan kabinet negerinya yang dianggap Najib sebagai "saksama dan adil" serta "mewakili kepentingan semua pihak". "Saya percaya mereka akan berkhidmat bersama-sama Tan Sri Adenan Satem dengan setulus hati dalam membawa Sarawak lebih maju dan berjaya," katanya. Najib juga percaya kecemerlangan Douglas akan terus dibawa dalam jawatan barunya sebagai timbalan ketua menteri. "Pada masa sama, kita masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan seperjuangan kita ketika bertugas di Sarawak. "Kepada ahli-ahli Kabinet negeri Sarawak, selamat menjalankan tugas dan menunaikan janji Barisan Nasional," katanya. | PRK: PAS kena guna petunjuk PRU 2004 bukan 2013 Posted: 14 May 2016 07:01 AM PDT KUALA LUMPUR: PAS perlu menjadikan keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 2004 sebagai petunjuk kepada kekuatan mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bukannya keputusan PRU lalu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Beliau berkata, PAS bertanding bagi pihak Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, berbeza dengan keadaan sekarang di mana parti itu tidak lagi bergabung dengan DAP dan PKR. “Keputusan PRU ke-13 bukanlah petunjuk yang boleh dipercayai untuk mengukur trend mengundi bagi calon-calon PAS, kerana cerminan yang lebih tepat ialah PRU tahun 2004. “Calon PAS dalam dua PRK ini tidak akan mendapat undi yang banyak berbanding pada PRU lalu, kerana PAS telah mengesampingkan segmen pengundi yang signifikan di kedua-dua kawasan dan sudah bukan lagi parti komponen Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan. Pada PRU 2013, PAS hanya kalah tipis pada calon BN, dengan kekurangan 339 undi di Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar. Ia jauh berbeza pada PRU 2004, di mana PAS kalah dengan kekurangan 7,349 undi di Sungai Besar dan 5,557 undi di Kuala Kangsar. Justeru, beliau mengingatkan PAS agar mengambil kira perbezaan dua keputusan PRU tersebut jika ingin menang dalam dua PRK yang akan berlangsung pada 18 Jun ini. “Ia lebih relevan berbanding angka-angka pada PRU 2008 dan 2013, dan harus diambil kira jika objektif utama adalah untuk mempertimbangkan cara terbaik bagi memenangi PRK ini dan terus memberi tekanan kepada Najib,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. Beliau turut memaklumkan, Majlis Presiden Pakatan Harapan belum membuat keputusan berhubung kedua-dua PRK tersebut, terutama soal meletakkan calon. Beberapa pemimpin PAS, antaranya Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria sebelum ini mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak bertanding di sana, memandangkan ia adalah kerusi tradisi PAS dan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru. | Panas | DAP pecat seorang ADUN mereka di Selangor atas tuduhan salahguna peruntukan kerajaan negeri Posted: 14 May 2016 01:37 AM PDT DAP pecat ADUN Teluk Datuk, dituduh salahguna peruntukan kerajaan negeri Selangor KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan hari ini memecat keahlian parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Datuk, Loh Chee Heng, atas dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan negeri bagi kawasan diwakilinya di Selangor. Keputusan ini dibuat jawatankuasa tersebut selepas sesi pendengaran hari ini setelah menerima aduan bertulis pada Mac lalu berhubung dakwaan salah guna peruntukan dari kerajaan negeri bagi kawasan itu. Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai, berkata DAP adalah parti yang mendokong ketelusan, akauntabiliti dan urus tadbir yang baik serta mahu semua wakil rakyat yang dipilih supaya menepati piawai maksima tahap integriti terhadap amanah rakyat yang diberikan. Menurutnya, DAP sentiasa konsisten dengan prinsip integriti yang dijunjung parti dan tidak boleh berkompromi menggadaikan prinsip itu dengan membiarkan wakil rakyatnya berbuat sesuka hati terhadap peruntukan yang diamanahkan. “Jawatankuasa disiplin parti menzahirkan rasa kecewa atas tindakan Loh yang telah memburukkan parti berikutan tindakannya menyalahguna peruntukan yang diberikan kerajaan negeri,” kata beliau. “Kita mahu ia menjadi iktibar terhadap semua wakil rakyat kita yang lain bahawa mereka tidak boleh mengkhianati amanah yang telah diberikan tetapi perlu menunjukkan tahap integriti yang tinggi dalam segala urusan mereka terutama dalam menguruskan peruntukan kerajaan,” tegas Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras. Pada 15 Mac 2016, Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan telah meminta Jawatankuasa Disiplin DAP Selangor untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri tersebut. “Berdasarkan sesi pendengaran hari ini di mana Loh diberikan peluang untuk menjelaskan dakwaan terhadap dirinya, jawatankuasa disiplin mendapati dan menyimpulkan terdapat bukti serius salah laku oleh Loh dan sebulat suara membuat keputusan untuk menamatkan keahlian beliau serta merta,” jelasnya. – Roketkini.com | PRK Sg. Besar & Kuala Kangsar : Cina mahu undi siapa? Posted: 13 May 2016 10:42 PM PDT  PILIHAN Raya Kecil (PRK) yang diadakan secara serentak di dua kawasan Parlimen pada 18 Jun ini bakal menyaksikan suasana politik baharu di negara kita. Apa tidaknya, inilah PRK yang pertama kali membabitkan Amanah yang kebanyakan terdiri daripada bekas pemimpin-pemimpin dan akar umbi Pas. Pakatan Rakyat sudah terkubur dan digantikan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah membolehkan rakyat mempunyai satu lagi alternatif baharu. Dengan erti lain, pakatan pembangkang kali ini akan lebih bercelaru dengan pendirian Pas yang menyokong PKR tetapi tidak pada DAP dan Amanah. Dan parti yang terus tersepit dalam 'cinta tiga segi' ini sudah tentulah PKR yang perlu mengambil hati DAP dan Amanah dalam menentukan calon bagi PRK di kedua-dua kawasan Parlimen ini. Beberapa hari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat menentukan tarikh penamaan dan hari mengundi, beberapa pemimpin DAP, Pas, Amanah dan PKR sudah pun bersuara menyatakan pendirian masing-masing. Sehinggakan Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad terpaksa menegaskan tiada lagi kenyataan akan dikeluarkan oleh pimpinan parti mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan kelak. Belum berperang dengan musuh, sudah pun bertelagah sesama sendiri. Itulah gambaran yang paling tepat untuk menunjukkan betapa seriusnya perbezaan pendapat antara keempat-empat parti pembangkang ini. Sama ada Pas akan tanding seperti dalam PRU lalu ataupun Amanah akan turut masuk gelanggang menentang BN masih belum dipastikan. Kini terletaklah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk mencatur strategik dalam usaha merampas kedua-dua kerusi Parlimen itu daripada tangan BN. Mengikut rekod, kedua-dua Parlimen ini, iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang dimenangi BN pada PRU 13 bukanlah kemenangan yang boleh dianggap besar apabila masing-masing memperoleh majoriti sebanyak 399 dan 1.082 undi. Allahyarham Noriah Kasnon menang di Sungai Besar dengan memperoleh undi 18,695 mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M Husin yang meraih 18,296 undi. Manakala Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menang di Kuala Kangsar mendapat 14,218 mengalahkan calon Pas, Khalil Lim Abdullah (13,136) dan seorang calon Bebas, Kamilia Ibrahim (447). Berdasarkan keputusan PRU lalu, BN tidak mampu meraih kemenangan besar disebabkan kerjasama yang kuat ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat ketika itu. Kedua-dua calon Pas mendapat undi yang agak banyak daripada pengundi Cina atas bantuan DAP. Di Sungai Besar, peratusan pengundi Cina adalah 30.68 peratus ataupun 13,142 daripada 42,836 jumlah keseluruhan pengundi, manakala di Kuala Kangsar, peratusan Cina pula juga hampir 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi 33,277. Oleh itu, tidak dapat dinafikan undi Cina menjadi faktor penentu kemenangan BN di kedua-dua Parlimen pada PRU lalu. Namun dalam PRK kali ini, keadaan ini sudah pastinya berbeza. Sekiranya Pas bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen ini, kelibat DAP dijangka tidak akan kelihatan. Sebaliknya, DAP akan menggerakkan jentera partinya sekiranya Amanah bertegas turut serta yang memungkinkan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara BN, Pas dan Amanah. Pengaruh DAP tetap kuat di kalangan masyarakat Cina. Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak. Begitu jugalah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pas dijangka tidak akan menerima sambutan yang baik daripada pengundi Cina kerana sudah 'bermusuh' dengan DAP. Selain tidak mendapat sokongan daripada DAP, Pas juga dipercayai akan mengalami kekurangan undi daripada masyarakat Cina disebabkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sejak akhir-akhir ini kerap mengeluarkan kenyataan lebih mirip 'berbaik-baik dengan BN dan Najib'. Jika Cina tidak mahu undi Pas, apakah mereka akan undi BN? Soal ini masih sukar dijawab. Sentimen Cina yang masih terbawa-bawa isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion tentunya tidak akan mengundi BN. Jadi, Cina mahu undi siapa sebenarnya? | MP Jelebu dibedah, buang ketumbuhan otak Posted: 13 May 2016 10:31 PM PDT  SHAH ALAM - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Zainuddin Ismail selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada otaknya di Hospital Kuala Lumpur, semalam. Anak keduanya, Muhammad Arif, 27 memberitahu ayahnya masih belum sedarkan diri namun stabil. "Alhamdulillah (ayah) sudah keluar dari OT (bilik pembedahan) dan doktor memberitahu pembedahan berjaya. Ketumbuhan sudah dikeluarkan. "(Doktor juga beritahu) semasa pembedahan ayah beri respons yang sangat baik. Tekanan darah juga sudah stabil," katanya kepada Sinar Online. Semalam, Zainuddin dikejarkan ke HKL selepas tidak sedarkan diri di rumahnya dan selepas ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mengesahkan pembedahan segera perlu dijalankan. [ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Jelebu pengsan, dihantar ke HKL] Mengulas lanjut, Muhammad Arif berkata doktor memberitahu tempoh 24 jam selepas pembedahan merupakan tempoh kritikal. "Ayah masih 'under sedative' untuk 24 jam. Tempoh 24 jam kehadapan masih lagi kritikal. Pelawat sangat tidak digalakan untuk 24 jam ini. Selepas itu, insya-ALLAH boleh lawat. "Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan berbanyak terima kasih di atas doa-doa kalian. Sama-samalah kita mendoakan untuk kesembuhan ayah," katanya. | Calon PRK: Pakatan Harapan mesyuarat esok di Pejabat AMANAH KL Posted: 13 May 2016 10:30 PM PDT  PASIR PUTEH - Pakatan Harapan tetap akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar walaupun terpaksa berdepan dengan Pas. Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lagi pertembungan sesama sendiri antara parti dalam Pakatan Harapan sebagaimana yang berlaku di Sarawak baru-baru ini. Bagaimanapun katanya, parti mana yang akan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mewakili Pakatan Harapan belum diputuskan. "Pakatan Harapan akan bermesyuarat esok di Pejabat Amanah di Kuala Lumpur bagi menentukan parti mana yang akan bertanding, kita tetap bertanding. "Yang pasti kita meletakkan calon dalam dua PRK itu walaupun mendapat tentangan daripada Pas," katanya kepada media pada Majlis Makan Malam anjuran Amanah Pasir Puteh di Sweet Beach Resort, Tok Bali dekat sini, malam tadi. Turut hadir; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Adun Salor, Datuk Husam Musa; Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah Pasir Puteh, Abdul Halim Mohamad. Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu. Mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengingatkan DAP, PKR dan Amanah supaya tidak meletakkan calon jika sekadar untuk menguji sokongan, Mat Sabu berkata, PH mempunyai hak untuk bertanding. Katanya, beliau menghormati keputusan Pas untuk bertanding tetapi Pas tidak boleh menghalang parti-parti dari Pakatan Harapan menyertainya. "Pas tiada dalam Pakatan Harapan, soal Pas nak turut bertanding iu soal dia, kita pun ada hak nak bertanding atau tidak dan kita memutuskan untuk bertanding kali ini. "Sambutan kepada Pakatan Harapan di semenanjung lebih baik berbanding Sarawak kerana isu-isu yang dibangkitkan di sini (semenanjung) jauh berbeza dengan Sarawak, harapan untuk kita menang adalah cerah," katanya. | Tahniah kepada 1.2 juta rakyat yang mahu Najib berundur Posted: 13 May 2016 10:00 PM PDT PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada 1.2 juta rakyat Malaysia kerana berani menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga yakin jumlah tandatangan yang menuntut pengunduran Najib itu akan bertambah dari semasa ke semasa.
"Saya percaya lebih ramai yang akan tampil berbuat demikian sebagai pernyataan komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin yang rasuah dan pecah amanah.
"Sekalung tahniah kepada pasukan petugas Deklarasi Rakyat yang telah bertungkus lumus mengumpul tandatangan di segenap pelusuk tanah air. Syabas saya ucapkan! Undur Najib! Selamatkan Malaysia!," katanya dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian mengulas pengesahan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 1.27 juta tandatangan telah berjaya dikutip di seluruh negara. Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata akan menyerahkan sendiri dokumen yang dinamakan Deklarasi Rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan sedang mendapatkan perkenan untuk menghadap.
Katanya, walaupun sasaran sejuta tandatangan pada tahun ini berjaya dilaksanakan lebih awal, tandatangan lain akan terus diterima.
Mahathir berkata, sebanyak 1.07 tandatangan dikumpul melalui atas talian dan 200,000 lagi melalui pengedaran borang secara fizikal.
Sebanyak 50,000 lagi direkodkan di laman alternatif Change.org. | BN guna undi simpati di Kuala Kangsar, Sungai Besar? Posted: 13 May 2016 09:00 PM PDT
KUALA LUMPUR - Penganalisis politik yakin BN akan menggunakan undi simpati dalam meraih sokongan untuk dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Pensyarah dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, undi itu akan memainkan peranan namun pembangkang tidak akan berdiam diri.
Namun menurutnya, calon turut memainkan peranan untuk BN terus kekal menguasai dua-dua Parlimen itu.
"Sekiranya calon itu dilihat benar-benar ada integriti seperti di Sarawak ada Adenan (Tan Sri Adenan Satem) yang anti-rasuah, jujur, diterima ramai, mesra rakyat, saya fikir calon itu boleh diterima.
"Perbalahan di peringkat Bahagian juga perlu dibendung. Mereka perlu bersatu di bawah payung BN," katanya ketika sesi soal jawab selepas forum berkaitan Pilihan Raya Negeri Sarawak, semalam.
PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar hampir pasti berlaku apabila kedua-dua penyandangnya, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Anuar (Kuala Kangsar) terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu. Mengulas lanjut, beliau mendakwa di Kuala Kangsar terdapat ahli-ahli Umno yang berpuak-puak dengan menyokong beberapa wira politik masing-masing seperti bekas Ketua Wanita Umno,Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Othman serta beberapa pemimpin lain.
Manakala katanya, di Sungai Besar ada isu Ketua Bahagian Umno yang dilihat tidak rapat dengan Pemudanya.
"Cuma kita harapkan di sana budaya politik Jawa. Yang taat, dengar perintah. Itu boleh ubah undi," katanya.
Tegasnya, keputusan dua PRK ini akan menjadi ukuran sebenar kepimpinan Putrajaya.
"Dua PRK ini menentukan populariti Putrajaya.
"Jika berjaya, maka cepatlah PRU14, jika tidak, terpulang untuk anda fikirkan," katanya. | ‘Ribut dalam cawan’ landa Pas Kedah Posted: 13 May 2016 08:00 PM PDT ALOR SETAR - Pas Kedah sekali lagi berdepan situasi sukar apabila Pas kawasan Kuala Kedah dan Pokok Sena membuat ketetapan mengejutkan, apabila kedua-dua Yang Dipertua kawasan berkenaan 'berehat' daripada memikul tanggung jawab itu.
Yang Dipertua Pas kawasan Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini mengisytiharkan diri bercuti selama sembilan bulan bermula Februari lalu, manakala Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa Isnin lalu.
Kedua-dua pemimpin ini antara tonggak utama Pas Kedah, di mana keduanya pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, namun hanya Amiruddin menolak jawatan Pesuruhjaya ketika ditawarkan kepadanya bagi sesi 2015-2017.
Kemelut yang diibaratkan umpama 'ribut dalam cawan', tidak ubah seperti situasi yang berlaku dalam Pas Kedah ketika Pesuruhjaya ketika itu, Tan Sri Azizan Abdul Razak berdepan krisis Exco 2012, cuma bezanya kali ini hanya melibatkan pas kawasan. Itu pun hanya dua daripada 15 kawasan dilihat 'bermasalah'. Bagaimana pun, tindakan Amiruddin yang juga Adun Anak Bukit melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah tidaklah seserius situasi pada 2012, namun ia tetap membangkitkan peristiwa lampau gara-gara melibatkan kawasan 'panas' Kuala Kedah.
Gandingan tiga serangkai ketika itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi-Amiruddin- Mohd Nasir Mustafa selain Datuk Ismail Salleh menyebabkan Pas Kedah ketika itu bergolak dan tidak mampu dibendung. Sebaliknya kemelut kali ini berlaku secara senyap tanpa menjejaskan parti.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi ketika mengulas perkembangan terbaharu ini menegaskan, Amiruddin masih ahli Pas dan telah mengumumkan pendiriannya untuk kekal beristiqamah selain terus memberi khidmat kepada parti.
"Amiruddin juga masih kekal sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah, Pengerusi Pembangunan Kompleks Pas Kedah dan beberapa entiti lain yang diberi tanggungjawab kepadanya oleh Badan Perhubungan Pas Kedah," katanya.
Menurutnya, pentadbiran Pas kawasan Kuala Kedah berjalan seperti biasa di mana tugas parti kini dilaksanakan oleh pemangku jawatan, sebagaimana diperuntukkan perlembagaan parti.
"Saya harap semua ahli Pas Kedah fokus terhadap kerja-kerja mendekati rakyat serta memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh dedikasi," katanya.
Naib Yang Dipertua, Umar Saad kini merupakan pemangku Yang Dipertua berikutan Timbalannya, Mohd Nasir Mustafa telah melepaskan jawatannya 1 Mei lalu, sebelum Amiruddin berbuat demikian, Isnin lalu. | Debat Perdana 16 Mei - "Deklarasi : Mana Pergi Rakyat" Posted: 13 May 2016 07:00 PM PDT DEBAT PERDANA 16 MEI - "DEKLARASI: MANA PERGI RAKYAT"
Setelah lebih dua bulan Deklarasi Rakyat dilancarkan, dapat kita lihat pelbagai suara reaksi serta ekspresi ditunjukkan oleh banyak pihak. Ada yang menyokong tanpa syarat, ada yang menyokong dengan syarat dan ada juga yang menolak dengan hujah tertentu.
Lantas mewujudkan dua kumpulan terbesar yang berbeza pendirian terhadap Deklarasi Rakyat, iaitu menyokong dan menolak deklarasi namun boleh dikatakan hampir semua pihak mempunyai tekad yang sama - menyelamatkan tanahair tercinta.
Pelbagai pentas forum dan dialog juga telah disajikan kepada umum demi menyampaikan penerangan serta mendapatkan sokongan. Tidak kurang juga usaha di sebelah pihak lagi mementaskan forum kesedaran umum mengenai kelemahan deklarasi ini dan kemungkinan peluang emas untuk menyelamatkan negara terkubur.
Di atas permintaan yang memuncak, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan inisiatif teman aktivis, NGO dan mahasiswa, akhirnya berjaya merealisasikan sebuah pentas debat marathon yang kali pertama mempertemukan dua pihak antonim yang pro dan kontra kepada penubuhan Deklarasi Rakyat. Debat Perdana bertajuk "Deklarasi – Mana Pergi Rakyat?" bakal merungkai persoalan apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat, akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH.
Aksi debat diperhebat dengan penampilan trio Dato' Ambiga Sreenevasan, Dato' Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB Khalid Samad di pihak pro-deklarasi manakala di pihak pro-reformasi total pula diwakili oleh cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Moderator diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, sdr Azzan Aznan.
SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam mencari jalan terbaik menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata. Pertembungan ini juga harus diraikan sebagai satu medan buat rakyat menilai secara langsung, malah persoalan yang saling dijawab oleh kedua pihak mampu menjadi pedoman buat rakyat dalam menentukan bagaimana seharusnya tanahair gersang ini diselamatkan.
Ini merupakan peluang terpenting bagi kedua belah pihak memberi ungkapan yang terbaik bagi mengolah persetujuan umum terhadap pendirian masing-masing. Harapan SAMM agar rakyat di luar sana melihat debat ini dengan deria positif dan memupuk iltizam tinggi dalam mencari penyelesaian optimum, betapa negara masih perlu diselamatkan.
Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian. Pengamal media adalah dialukan untuk membuat liputan penuh secara langsung.
Edy Noor Reduan Pengarah Program Debat Perdana Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) | Genap 100 hari Mat Bashah jatuhkan Mukhriz - MB pastikan pembangunan di Kedah diteruskan Posted: 13 May 2016 06:00 PM PDT
PENDANG - Genap 100 hari pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam, beliau mahu memastikan segala bentuk pembangunan di negeri itu diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada 4 Februari lalu berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan di Kedah yang melibatkan semua bidang berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan.
"Pembangunan melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, pelancongan dan ekonomi, jadi kita ingin pastikan semua perancangan yang sedia ada disusun dengan rapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.
"Semua janji yang telah diberikan akan ditunaikan termasuklah Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap yang dijangka akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan Projek Perumahan Taman Berjaya dan sumbangan amal kepada 100 pelajar sekolah di sekitar Pendang. Beliau berkata, perancangan pembangunan itu perlu diteruskan kerana kelewatan dalam projek pembangunan boleh menyebabkan Kedah ketinggalan dengan negeri-negeri lain.
"Saya bimbang Kedah akan tertinggal di belakang dan tidak mampu bersaing dengan negeri lain jadi saya ingin mengajak rakyat untuk bersama-sama dalam membangun dan menentukan kejayaan negeri," katanya.
Tambahnya, tempoh 100 hari itu bukan penentu kejayaannya dalam mentadbir Kedah dan dia berharap rakyat dapat memberi ruang untuknya terus memajukan negeri dalam tempoh berbakikan dua tahun sebelum PRU14. – Bernama | Sg Petani - Baru Tingkatan 5 sudah jadi penyamun, hangpa nak jadi apa sebenarnya nie..??? Posted: 13 May 2016 05:00 PM PDT
SUNGAI PETANI – Seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis selepas didapati terlibat dalam kejadian samun di Taman Patani Jaya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, remaja berkenaan ditahan selepas melanggar sebuah lori semasa dikejar anggota Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM).
CRSM mengejar remaja itu selepas menerima maklumat mengenai tiga lelaki yang menyamun seorang wanita dikenali sebagai Jee Nee, 49, ketika sedang menunggu rakannya dalam kereta di hadapan sebuah rumah.
Ketika itu, remaja bersama dua lagi rakannya itu menunggang dua motosikal mengacukan pisau ke arah mangsa sementara salah seorang daripadanya meluru ke tempat duduk penumpang hadapan melarikan beg dan telefon bimbit.
Beberapa minit selepas itu, rakan mangsa yang ditunggu-tunggu tiba di lokasi kejadian dan dimaklumkan mengenai kes samun terbabit.
Mereka kemudian menghubungi CRSM yang berada berdekatan bagi meminta bantuan. Difahamkan, anggota CRSM yang menerima maklumat awal terserempak dengan remaja berkenaan sebelum mengejarnya dan sehinggalah suspek terlanggar sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, suspek yang ditangkap diserahkan kepada polis.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, remaja berusia 17 tahun itu adalah seorang pelajar di salah sebuah sekolah di daerah ini.
"Barangan samun yang dibuang ke dalam longkang turut ditemui dalam keadaan basah termasuk sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen lain milik mangsa.
"Dua rakan remaja terbabit berjaya melarikan diri," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. | Kim Swee mahu perlawanan Kedah-PDRM ditunda Posted: 13 May 2016 04:00 PM PDT
Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, berharap agar Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) merombak jadual Liga Malaysia demi persiapan skuad kebangsaan.
Harimau Malaysia akan berdepan Myanmar dalam aksi persahabatan Kelas A pada 28 Mei ini dan Kim Swee percaya Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, sedia membantu.
"Saya telah meminta pihak FMLLP untuk menukar tarikh perlawanan di antara Kedah dan PDRM disebabkan skuad kebangsaan akan memulakan latihan pusat pada 22 Mei di Yangon.
"Saya percaya pihak FMLLP sudi membantu kami dan saya harapkan satu keputusan yang baik," katanya.
Sementara itu, Kim Swee mengesahkan beberapa muka baharu bakal memberi nafas baharu kepada skuad kebangsaan, namun ia berlandaskan prestasi bersama pasukan masing-masing.
"Kemungkinan ada lima atau enam pemain baharu yang akan dipanggil menyertai skuad kali ini. "Ada antara mereka yang bakal dipanggil buat kali pertama manakala ada juga yang pernah mewakili skuad kebangsaan. Apapun, kami masih ada dua perlawanan Liga Super sebelum saya membuat keputusan muktamad," tambahnya.
Selain pertemuan dengan Myanmar, Malaysia bakal mengharungi dua perlawanan playoff Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada 2 dan 7 Jun di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin. | Tiada lagi sewa percuma buat peniaga Mara Digital Posted: 13 May 2016 03:29 PM PDT KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh pengecualian bayaran sewa untuk peniaga di pusat teknologi maklumat (IT) Mara Digital di ibu negara yang berakhir bulan ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga terbabit dikehendaki membayar sewa mulai bulan depan kerana kementeriannya telah memberi pengecualian sewa maksimum selama enam bulan kepada mereka.
"Dia kena bayar. Kita bagi enam bulan maksimum (pengecualian sewa) dan dia kena bayar macam biasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Mara di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, FMT melaporkan peniaga di Pusat IT Mara Digital yang terletak di Menara Mara Kuala Lumpur telah mendapat notis daripada pihak pengurusan bangunan itu memaklumkan tempoh pengecualian sewa premis telah berakhir.
Namun, mereka berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh pengecualian bayaran sewa itu.
Difahamkan, anggaran sewa bulanan di Pusat IT Mara Digital ialah kira-kira RM2,500 bergantung kepada keluasan premis masing-masing. Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut menyatakan pihaknya tidak mengetahui jumlah bayaran sewa yang dikenakan kepada peniaga di Mara Digital.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan peniaga di Pusat IT Mara Digital diberikan bayaran sewa yang rendah.
"Kita bagi ni saya ingat paling rendah. Biasanya Mara ini Bazar Mara, Arked Mara, harganya (sewa kedai) begitu rendah," katanya. | |
No comments:
Post a Comment